Jika tidak ada komitmen, kesungguhan dan semangat yang tinggi untuk meneruskan penulisan maka seseorang pengarang tidak akan dapat menyiapkan sesebuah buku yang telah dimulakan penulisannya kerana halangan musuh utama dari dalam dirinya sendiri.
Berbanding dengan penulisan rencana, penulisan buku apabila ditangguhkan memerlukan pengumpulan semula semangat dan tenaga minda untuk meneruskannya setelah ditinggalkan sehari dua. Penangguhan boleh berlaku bukan kerana ada kerja lain, tetapi kerana alasan sendiri tidak ada mood.
Saya telah kembali menyusuri lorong-lorong yang pernah saya lalui bersamanya sejak usia remaja untuk saya catitkan dan rakamkan sejarahnya.
Perjalanan panjang ini amat nostaljik sekali, melihat kepayahan kelahirannya dari visi beberapa orang anak Melayu yang hanya berbekalkan kekuatan minda, kecekalan semangat dan pengumpulan seluruh kekuatan untuk bangsanya.