APAKAH nilai sebuah cinta bagi seorang gadis berlesung pipit bernama Ifti Liyana?
Sejak bertahun-tahun, sayangnya pada Fredo tidak pernah melimpah. Nalurinya sentiasa menidakkan, benarkah mereka bercinta? Akhirnya, mereka kian jauh dan lelaki itu membawa haluan sendiri. Dia sendiri pasrah!
Namun, pandang pertamanya dengan Nazmi, memutikkan perasaan yang aneh. Lelaki itu yang sekejap ada dan hilang seperti menyeru-nyeru semangatnya. Dirinya ibarat mengejar bayang-bayang. Namun, keegoannya sering kali menepis kata hatinya. Tetapi bagaimana dengan rindu yang sarat ini?
Berbolak-balik rasa hatinya. Antara keinginan untuk menyayangi dengan rasa pesimis terhadap kejujuran seorang lelaki. Dalam benci ada rindu, dalam sayang dia jadi keliru, apakah Nazmi benar-benar setia pada yang satu?
Ah... sukarnya melafazkan kata maaf bila prasangka hampir meleburkan sebuah impian. Ifti Liyana akhirnya akur, cemburu buta dan hipokrit bukanlah sifat terpuji. Dia mengakui, Nazmi lelaki sejati yang diimpikan selama ini.
Pilihan Staf:
Apa yang boleh saya katakan? Novel yang "sweet" sangat! Nukilan Anis Ayuni ini begitu membuai perasaan. Mengajar kita supaya lebih menghargai cinta. Usik-mengusik, cinta, benci, rindu dan dendam bercampur-baur menjadi satu. Kerana berebutkan sepiring puding karamel, Ifti Liyana dan Nazmi bertemu. Kata orang, kalau dah jodoh, tak ke mana. Namun, kepahitan pengalaman cinta masa lalu membuatkan Ifti Liyana lebih berhati-hati apabila memilih pasangan hidup. Mulut kata tidak, hati meronta mahu. Keegoan diri membatasi keinginannya untuk disayangi dan dicintai. Ketulusan hati Nazmi akhirnya mampu meleburkan kerasnya sekeping hati milik Ifti Liyana. Tak sabar rasanya untuk menyaksikan gandingan Shaheizy Sam dan Fazura yang dipilih sebagai teraju utama untuk filem adaptasi ini.