Kamu Sang Penculik
Author: Tini Hardanisyah
ISBN: 9789672035022
Checking local availability
Title
RM30.00
Publisher,Kaseh Aries Publication
Publication Date,
Format, Paperback
Weight, 600 g
No. of Pages,
“Apa hubungan awak dengan anak Datuk Darius?” Menyirap darahku saat soalan itu terus ‘memanahku'. Bagaimana Fitri boleh tahu siapa ayah Niel? Rasanya semasa majlis sanding Munirah, Fitri belum tahu lagi siapa Niel yang sebenarnya.
“Kami tak ada apa-apa hubungan.” Hanya itu yang kubalas. Malas hendak bertanya soalan-soalan yang mula meraja minda.
“Kalau tak ada, kenapa awak boleh ada dengan dia? Siap ketawa lagi. Nampak macam rapat sangat. Patutlah masa majlis sanding Munirah tu awak dengan dia macam ada sesuatu. Rupa-rupanya dah lama awak dengan dia rapat.” Wajah Fitri mencerlung ke arahku. Kenapa pula dengan mamat ini? Tak faham sungguh aku bila dia tiba-tiba jadi terlebih emosi.
“Saya dengan dia tak ada apa-apa hubungan yang serius.” Suaraku makin ditegaskan. Sempat aku kerling ke sekeliling kami. Sunyilah pula kerana sudah ramai staf yang telah pulang.
“Kalau macam tu, betullah awak ada hubungan dengan dia. Serius atau tak, hakikatnya tetap sama. Awak ada hubungan dengan dia,” Fitri kedengaran masih belum putus asa.
“Saya rasa Encik Fitri dah melepasi sempadan urusan kerja kita. Ini hal peribadi saya, jadi saya mohon Encik Fitri jangan masuk campur.” Makin angin aku dibuatnya.
“Oh, maksud awak anak Datuk Darius tu salah satu urusan peribadi awak? Dah sampai tahap mana?” Penuh sarkastik soalan itu Fitri ajukan.
“Saya minta maaf, saya minta diri dulu.” Malas aku hendak melayan. Kaki kiri kuangkat untuk masuk ke dalam Iriz namun belum sempat aku loloskan diri ke dalam Iriz, terasa lenganku dipegang kemas. Tersentak aku dibuatnya dan dengan kasar aku rentap lenganku. Wajah Fitri kurenung tajam.
“Saya dah pernah pesan, tolong hormat saya sebagai seorang perempuan. Selagi saya boleh cakap dengan penuh rasa hormat, saya minta Encik Fitri tolong tunaikan permintaan saya. Saya tak nak berkasar. Encik Fitri jangan buat perangai pelik dengan saya. Sebelum ni Encik Fitri okey aje. Jadi tolong kekalkan apa yang perlu dan jangan buat sesuatu yang boleh buatkan rasa hormat saya hilang.” Nada suaraku jadi turun naik kerana terlalu geram.