Kisah-kisah pengalaman para jemaah di tanah suci selalu menjadi perhatian ramai. Ada saja kisah yang dapat dikongsi sebagai iktibar semua. Ada juga yang takut menjejakkan kaki ke sana kerana berasa dirinya bergelumang dosa. Mereka bimbang "diberi balasan tunai" oleh Allah.
Hakikatnya Allah sangat mencintai hamba-hamba-Nya. Segala "fitnah" terhadap balasan daripada Allah itu adalah panah-panah syaitan yang tidak mahu kita melengkapkan lima rukun Islam. Dan sekiranya Allah menguji kita di sana, itu adalah peringatan daripada Allah tanda kasih sayang-Nya terhadap kita.